Sabtu, 21 Jun 2014

MAJLIS MOU DI ANTARA PPUM, KPM DAN YNY BERKENAAN PELANCARAN SEKOLAH DALAM HOSPITAL PPUM


Kami ingin menyorot kembali detik penubuhan SDH di Pusat Perubatan Universiti Malaya,Kuala Lumpur pada 21 November 2013....


DIAMBIL DARI PETIKAN YANG DISAMPAIKAN MELALUI BERNAMA.COM...



 PETALING JAYA, 21 Nov (Bernama) -- Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah dipilih sebagai satu daripada hospital yang menyediakan kemudahanpersekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan. Pengarah PPUM Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail berkata pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di PPUM menunjukkan bahawa PPUM bukan sahaja komited dalam memberi rawatan kepada pesakit malah juga menitikberatkan pembelajaran pesakit.
      "Seramai sembilan guru dan dua pembantu pengurusan murid akan ditugaskan mengajar pesakit di dalam kelas yang disediakan khas di tingkat 7, Bangunan Pediatrik, PPUM. Pesakit berpeluang mengikuti mata pelajaran teras yang diajar mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan dengan bimbingan guru yang dilatih khusus, meskipun pesakit tersebut perlu menjalani rawatan dan tinggal di wad dalam jangka masa panjang,"  katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan SDH, di sini, hari ini.
      MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Nurul Yaqeen Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim.
     Turut menyaksikan majlis Mou itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan, Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud, Pengerusi Projek Hati Nurani Profesor Madya Norma Dali dan Ikram Shah. Ikram Shah berkata PPUM yakin bahawa SDH akan memberi peluang kepada pesakit supaya tidak tertinggal pendidikan selaras dengan visi dan misi pendidikan Malaysia.
     Sehingga kini terdapat sembilan SDH di Malaysia iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras, Hospital Sultanah Aminah di Johor Baharu, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar dan PPUM.
      Menurut statistik yang disediakan oleh Yayasan Nurul Yaqeen, dari 2 Jan sehingga 31 Okt tahun ini seramai 18,454 pelajar yang hadir dan berdaftar sebagai pelajar SDH iaitu 7,001 pelajar sekolah menengah, 9,168 pelajar sekolah rendah dan 2,285 pelajar prasekolah.
     SDH bertujuan memberi pendidikan secara formal kepada pelajar dan  kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital terutama bagi tempoh yang lama.
      Projek yang turut diberi nama projek Hati Nurani ini menitikberatkan persekitaran yang kondusif serta bantuan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kesediaan pelajarnya. Ia adalah hasil dari cetusan buah fikiran Puan Sri Noorainee Abdul Rahman,isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
     SDH diwujudkan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia seiring dengan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) yang menitikberatkan 'pelajaran untuk semua'.
-- BERNAMA
SSR KHY RHM
11/21/2013 16-07ST


































GAMBAR EHSAN SENDIRI...TAKDAK DOWNLOAD DARI INTERNET MAA..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan